Monday, May 6, 2013

aladin

 
Cerita Aladdin yang asal merupakan cerita rakyat Timur Tengah yang mengisahkan seorang pemuda tak berguna yang bernama Aladdin, di sebuah kota di China, yang diupah oleh seorang ahli sihir dari rantau Maghrib, yang mengaku dirinya sebagai saudara kepada arwah bapa Aladdin, lalu menjamin nama baiknya kepada Aladdin dan ibunya dengan kononnya membuat persiapan untuk menjadikan pemuda itu sebagai saudagar yang kaya-raya.
Motif sebenar ahli sihir itu adalah memujuk Aladdin si pemuda itu agar mendapatkan kembali sebiji pelita dari sebuah gua sakti yang dipenuhi jerangkap samar. Aladdin terperangkap dalam gua selepas ahli sihir itu cuba mengkhianatinya. Mujurlah, Aladdin masih memakai cincin ajaib yang dipinjamnya dari ahli sihir itu. Dalam rasa putus asa, dia menggosok cincin itu tanpa sengaja, lalu terbangun seekor jin yang membawanya kembali ke pangkuan ibunya. Aladdin masih memegang pelita itu, dan apabila ibunya cuba membersihkannya, keluarnya seekor lagi jin yang jauh lebih berkuasa dan terikat untuk menurut perintah sesiapa yang memegang pelitanya. Dengan bantuan jin pelita, Aladdin menjadi kaya-raya dan berpengaruh, lalu bernikah dengan Badrulbadur, puteri Maharaja. Jin itu juga membinakan sebuah istana yang agam buat Aladdin, jauh lebih menawan berbanding istana Maharaja sendiri.
Ahli sihir itu pun pulang dan dapat merampas pelita itu dengan menipu isteri Aladdin yang tidak sedar akan kepentingan pelita itu, dengan tawaran menukarkan lampu lama demi yang baru. Dia menyuruh jin pelita supaya membawa istana itu ke kampung halamannya di Maghrib. Mujurlah, Aladdin masih memakai cincin ajaib dan dapat menyeru jin kecil. Walaupun jin cincin tidak boleh membuat asal secara langsung perbuatan jin pelita, namun ia dapat membawa Aladdin ke Maghrib, lantas menolongnya mendapatkan kembali isterinya dan pelita itu lalu menumpaskan ahli sihir itu.
Ahli sihir itu ada seorang saudara yang durjana dan jauh lebih berkuasa, dan dia cuba membalas dendam terhadap Aladdin kerana membunuh saudaranya dengan menyamar sebagai wanita tua yang kononnya mempunyai kuasa penyembuh. Badrulbadur terpedaya oleh samarannya, lalu menitah “wanita” itu supaya bersinggah dalam istananya sekiranya berlakunya kegeringan. Aladdin diingatkan akan bahaya tamu itu oleh jin pelita lalu menghapuskan penyamar itu. Semua orang hidup bahagia selamanya, dan Aladdin pun mewarisi takhta ayahanda mentuanya.

No comments:

Post a Comment